Sunday, November 23, 2008

Pak Ungku....


KAT BAWAH NI AKU ADA COPY SEBAHAGIAN DARI TEMURAMAH DENGAN PROF DIRAJA ENGKU AZIZ..
HARAP PEMBACA DAPAT MENGAMBIL IKTIBAR DAN SETERUSNYA MENGAMBIL IKTIBAR..

Kategori Pendidikan dan Komuniti Anugerah Merdeka agak berbeza dengan fahaman umum tentang pendidikan yang biasanya dibataskan di kelas dan bilik kuliah. Bagaimana pula sejarah Pak Ungku dalam bidang ini?

UNGKU AZIZ: Pengalaman hidup saya sendiri banyak berkisar sebagai guru dan ia bermula apabila saya menjadi guru dewasa di Singapura dengan bayarannya sebanyak RM1 sejam. Semasa Perang Dunia Kedua, saya menjadi guru Bahasa Jepun sebelum melanjutkan pengajian di Jepun dan kemudiannya teruskan pula pengajian di Raffles College. Selepas itu saya berjaya menjadi anak Melayu pertama masuk ke Universiti Malaya (UM) dan seterusnya menjadi pensyarah. Sampai sekarang pun pada usia 86 tahun, saya masih menjadi penasihat dan penyelia kepada penuntut doktor falsafah (Ph.D) dan beri ceramah di universiti serta tempat lain. Saya tidak jadi usahawan, jutawan atau diplomat. Saya pernah ditawar menjadi ahli politik, jadi menteri dan sebagainya pada era Tun Abdul Razak namun saya mahu menjadi intelektual di universiti. Masa saya mengajar di UM, saya ada pilihan untuk melanjutkan pengajian di London School of Economics (LSE) beserta dengan biasiswa, tetapi saya kata tidak payahlah, sebabnya, apa yang orang LSE boleh ajar, saya boleh dapatkannya di sini. Maksudnya kalau saya pilih London maka saya tak akan dapat tahu tentang kemiskinan orang Melayu. Kemiskinan orang Melayu itu hanya boleh dipelajari melalui penyelidikan di sini. Sampai sekarang saya masih menulis dan memikirkan kenapa orang Melayu tinggal dalam kemiskinan.

Boleh ceritakan bagaimana bermulanya kajian kemiskinan orang Melayu - bidang yang sehingga kini telah menyebabkan Pak Ungku dikenang kerana sumbangan yang cukup besar kepada masyarakat?

UNGKU AZIZ: Permulaan kajian saya adalah di Ulu Tiram, Johor pada tahun 60-an dengan orang di sana menoreh getah, makan lempeng, tidak dapat makan nasi, kalau nasib baik dapatlah makan nasi sekali pada waktu malam. Lepas itu saya di Kedah dan Perlis, keadaan pun sama. Kemudian ke Pantai Timur. Mula-mula kaji di Beserah, Pahang. Setahun saya jalankan kajian di kampung itu untuk kumpul rekod. Kemudian saya ke Kemaman pula, dan pengalaman ketika itu lebih dahsyat apabila wujudnya kebuluran. Mereka hanya menangkap ikan dan hasil tangkapan itulah dijual untuk membeli barang keperluan lain seperti beras. Saya juga ke Kelantan buat kajian dan keadaan juga hampir sama. Dari rumah ke rumah kita selidik.

Saya rasa sangat sedih memikirkan semua itu. Saya berfikir macam mana hendak lepaskan orang Melayu dari belenggu kemiskinan. Sampai sekarang kita boleh tengok mengapa mangsa perpindahan banjir, 95 peratus adalah orang Melayu. Sebabnya mereka tidak mampu tinggal di tempat yang baik. Sebab itu dalam soal mengikis kemiskinan kita kena cari program khusus untuk orang Melayu. Selain itu, ada lagi pelajar Melayu yang tidak dapat menamatkan persekolahan terutama apabila emaknya seorang ibu tunggal. Saya kaji dan tulis artikel sebab-sebab orang terjerumus dalam kemiskinan. Minat saya ini dari tahun 50-an lagi dan sampailah sekarang tetap sama iaitu tentang kemiskinan. Kerajaan ada keluar statistik bahawa tiada kemiskinan tegar tapi kalau saya masuk ke kampung, saya masih boleh jumpa mereka yang tak dapat ke sekolah kerana kemiskinan.

Bagaimana pula pandangan tentang konteks orang Melayu dalam pendidikan?

UNGKU AZIZ: Kita nak pastikan orang Melayu menang, jadi kita kena kiasu, tetapi orang Melayu mesti peka terhadap apa yang mereka makan. Buktinya, kalau anak orang Melayu banyak cacing, kerajaan kena ada program menghapuskan masalah ini. Program ini tidak boleh lagi dengan hanya beri dua biji pil untuk setahun. Orang yang hendak melaksanakan program itu mesti betul, buat masa kanak-kanak itu berumur tiga atau empat tahun.

Pak Ungku sangat diingati melalui Lembaga Urusan Tabung Haji. Boleh Pak Ungku ceritakan tentang penglibatan dalam penubuhannya?

UNGKU AZIZ: Asal usul penubuhan Tabung Haji adalah bermula daripada saya dan kerana Tabung Haji jugalah nama saya dikenali di seluruh dunia. Rancangan penubuhan Tabung Haji bukan sahaja tentang mendidik orang Melayu untuk kumpul wang bagi menunaikan fardu haji tetapi juga untuk kumpul wang bagi tujuan pelajaran. Tapi dari sudut untuk belanja haji memang bagus. Sekarang satu-satu musim, 30,000 orang pergi naik haji. Tetapi sekarang Tabung Haji, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dah jadi macam bank, wang boleh keluar masuk. Sudah hilang matlamat asalnya, iaitu untuk membolehkan orang kita kumpul duit.

1 comment:

yonghaslina said...

ksian btoi kat pak ungku...dah putih janggut dia...dok kaji lagi nape melayu miskin...agaknyer dia xnampak menda tue....

islam ada cakap...kami tidak akan mengubah nasib sesuatu kaun melainkan dia yg mengubah nasibnye sendri....

sendiri mau ingat laaaa......